Follow Us

Follow My Instagram

Monday, October 21, 2019

TAMAK PUNCA PENCEMARAN ALAM SEKITAR


Tamak punca pencemaran alam sekitar 

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


KUALA NERUS: Kerakusan segelintir pihak mengejar keuntungan sehingga mengetepikan aspek penjagaan alam sekitar menjadi punca utama kemusnahan alam, sehingga berlaku pemanasan global, pencemaran air, udara dan tanah serta peningkatan pembuangan sisa pepejal.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Dr Hafizan Jauhari, berkata pencemaran alam sekitar yang berlaku sekarang berpunca daripada sifat tamak segelintir pihak yang tidak sensitif dengan kepentingan mengekalkan keindahan alam sekitar.
“Mereka menggunakan sumber alam atas nama pembangunan, namun dijalankan tanpa sebarang perancangan teratur, sekali gus memberi kesan negatif terhadap banyak aspek alam sekitar.
“Justeru, kami berharap pelbagai usaha diambil termasuk program dijalankan ESERI bersama pelajar universiti dan pelajar sekolah menengah ini dapat memberi kesedaran kepada semua pihak dalam usaha membendung gejala pencemaran alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM): Hari Pemantauan Air Sedunia di Tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.
Hafizan berkata, melalui program itu pihaknya memberi pendedahan dan pembelajaran untuk menjaga alam sekitar, selain memberi kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar terhadap kehidupan secara keseluruhannya.
“Seramai 50 pelajar dari 10 sekolah terpilih diterapkan dengan amalan kehidupan sihat yang menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.
“Paling penting melalui program ini, peserta diberi pengalaman untuk menjadikan mereka sebagai seorang Saintis Muda Alam Sekitar dan mereka secara tidak langsung akan terdidik bermula daripada peringkat awal untuk menyayangi alam sekitar,” katanya.
Program tahunan dianjurkan pada setiap 18 September sempena Hari Pemantauan Air Sedunia itu turut membabitkan 30 pelajar UnisZA dan 10 pelajar ESERI.
Pelajar turut diberi peluang untuk menjalani beberapa amalan praktikal tertentu berkaitan air.
“Program ini membabitkan banyak pihak termasuk tenaga pengajar, agensi kerajaan dan pelajar sekolah serta universiti supaya tanggungjawab memulihara alam sekitar tidak hanya terletak pada sebuah badan tertentu sahaja, tetapi sebagai tanggungjawab bersama,” katanya.

No comments:

Post a Comment