KEPENTINGAN MINUM SUSU
Susu adalah minuman yang kaya dengan pelbagai nutrien. Susu merupakan
sumber mineral dan vitamin yang baik seperti kalsium, magnesium, fosforus, vitamin
A, vitamin B dan vitamin D. Kalsium merupakan mineral yang sangat penting untuk
pembentukan tulang dan gigi yang sihat. Anak-anak diperingkat umur persekolahan
masih dalam proses tumbesaran dan mereka memerlukan kalsium untuk
pembentukan dan kekuatan tulang dan gigi.
Produk tenusu juga mempunyai kandungan kalsium yang tinggi. Contoh produk
tenusu yang berada di pasaran ialah keju dan yogurt. Terdapat banyak kajian yang
menunjukkan anak-anak yang sedang membesar memerlukan lebih banyak kalsium
jika dibandingkan dengan orang dewasa. Anak-anak yang kurang minum susu atau
tidak mengambil apa-apa jenis produk tenusu akan menyebabkan kekurangan
kandungan kalsium dalam badan. Kekurangan kalsium pada peringkat umur ini akan
menghalang kanak-kanak daripada mencapai ketumpatan tulang maksimum (atau
dikenal sebagai peak bone mass). Ini boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit
tulang rapuh (osteoporosis) atau risiko kepatuhan tulang yang serius pada peringkat
dewasa.
Hasil Kajian Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS) (2013) menunjukkan bahawa
hampir separuh daripada kanak-kanak yang dikaji mengalami kekurangan Vitamin D
dan 1 daripada 20 orang mengalami masalah kekurangan nutrien yang lain.
Sehubungan itu, adalah amat penting untuk kanak-kanak minum dua sajian susu
sehari untuk memastikan mereka mendapati nutrisi yang diperlukan setiap hari.
Tips didik anak minum susu
i. Anda perlu menjadikan minum susu sebagai amalan harian sama ada minum
semasa sarapan atau minum sebelum tidur.
ii. Jika anak anda tidak menggemari susu, anda boleh menghidangkan susu yang
berperisa untuk menarik minat anak anda.
iii. Bagi anak-anak yang mempunyai masalah intoleransi laktosa, anda perlu
kreatif untuk menyediakan makanan yang mempunyai produk tenusu supaya
anak anda mendapat nutrien yang cukup.
iv. Anda juga jangan lupa untuk memberitahu anak anda khasiat susu supaya
anak anda tidak jemu untuk minum susu.
SUMBER:
Sektor Pemakanan Kanak-kanak dan Remaja
Bahagian Pemakanan
Kementerian Kesihatan Malaysia
No comments:
Post a Comment